Khasiat Buah Kiwi Untuk Ibu Mengandung



Sumber : Majalah PaMa


Salah satu perkara paling menyeronokkan ketika hamil ialah menikmati makanan lazat semahu-mahunya tanpa rasa bersalah dengan pertambahan kalori yang diambil.

Walau bagaimanapun, harus diingat! Nikmat daripada semua makanan tersebut harus disertai dengan kandungan khasiat yang tinggi bagi menyokong perkembangan awal tumbesaran bayi dalam kandungan.

Ketahuilah! 3 nutrien penting di samping zat pemakanan lain yang diperlukan oleh bayi bagi tumbesarannya ialah vitamin C, asid folik dan kalsium. Anda tidak semestinya menggandakan kuantiti makanan, sebaliknya hanya menambah kuantiti nutrien makanan dan minuman kerana ia merupakan sumber khasiat utama yang diperlukan oleh bayi.

Cara paling mudah untuk mendapat kandungan nutrien yang cukup daripada pemakanan sepanjang kehamilan ialah melengkapkan pelan pemakanan dengan pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan.

Kebanyakan buah merupakan sumber nutrien yang baik malah merupakan cara yang lebih sihat bagi meningkatkan jumlah kalori harian. Antara buah yang baik ialah buah kiwi. Rasa masam manis tropikanya bukan sahaja boleh mengurangkan rasa mual malah turut mengandungi nutrien-nutrien lengkap bagi bakal ibu seperti anda.



TAHUKAH ANDA

Buah kiwi datang dalam 2 jenis iaitu hijau dan kuning emas. Namun kedua-duanya penuh khasiat. Walaupun saiznya kecil, kebaikan yang terkandung di dalam buah kiwi sangat banyak. Buah Kiwi merupakan buah yang paling padat kandungan nutrient berbanding buah-buahan yang lain? Satu hidangan 2 buah kiwi mempunyai lebih banyak vitamin C berbanding 2 biji buah oren, lebih banyak potassium daripada sebatang pisang. Jika anda perasan entry saya sebelum ni mengenai keperluan potassium adalah untuk mengurangkan tekanan darah tinggi dan buah kiwi juga mengandungi kalsium dan juga lebih banyak serat.
 
KHASIAT_BUAH_KIWI


Antara Kelebihan Buah Kiwi Untuk Ibu Mengandung


1. Kekalkan Sistem Imuniti
Pengambilan vitamin C secukupnya sewaktu hamil boleh disamakan seperti mendapatkan polisi insurans bagi anak anda. Vitamin C merupakan salah satu vitamin paling penting sewaktu hamil bagi mengekalkan kesihatan anda dan kandungan. Buah kiwi merupakan sumber vitamin C paling baik berbanding buah oren. Ia terbukti membantu pergerakan plasma dan mampu menyimpan vitamin C di dalam sel badan.

Selaku antioksidan selular yang kuat, umum mengetahui kepentingan Vitamin C dalam meningkatkan imuniti badan bagi melawan bakteria. Pengambilan sesetengah jenis ubat-ubatan dikatakan tidak selamat untuk ibu hamil. Oleh kerana kesihatan harus diutamakan ketika hamil, maka mengekalkan sistem imuniti pada tahap terbaik dapat membantu anda tetap sihat.

Vitamin C memainkan peranan utama dalam sintesis kolagen yang memegang membran fetus dan mengekalkan kekuatan mekanikal membran korioamniotik. Paling penting, vitamin C menyokong penyerapan zat besi yang membantu pembentukan hemoglobin yang diperlukan anda dan bayi.
Kajian terbaru menunjukkan sumber vitamin C yang baik daripada buah kiwi sebenarnya membantu penyerapan zat besi daripada sumber makanan lain. Memakan buah kiwi dengan suplemen zat besi dan makanan yang kaya dengan zat besi dapat meningkatkan penyimpanan zat besi badan. Ini membantu anda yang mungkin kekurangan zat besi dengan cara yang mudah dan lazat bagi meningkatkan jumlah zat besi dalam badan.

Oleh itu, selain daripada menghilangkan rasa lapar pada waktu malam, memakan buah kiwi secara harian berupaya memastikan anda dan bayi mendapat Vitamin C secukupnya.

2. Tinggi asid folik
Satu lagi faktor menjadikan buah kiwi sebagai makanan ideal bagi wanita hamil ialah kandungan asid foliknya yang tinggi. Asid folik yang juga dikenali sebagai folate memainkan peranan penting dalam mengelak kecacatan saraf sewaktu lahir iaitu perkembangan otak dan saraf yang tidak lengkap sebanyak 70%.

Antara kecacatan saraf yang paling kerap berlaku sewaktu lahir ialah spina bifida, penutupan saraf tunjang dan kolum spina yang tidak lengkap. Kebanyakan kecacatan ini berlaku sewaktu 28 hari pertama kehamilan, lazimnya sebelum anda sedar tentang kehamilan.

Oleh kerana itulah, anda digalakkan mengambil asid folik walaupun sebelum hamil bagi mengurangkan kebarangkalian kecacatan sewaktu lahir.

Sekiranya anda merancang untuk mengandung dan mula memakan buah kiwi secara teratur, anda sudah pun berada pada tahap permulaan yang baik.

3. Mengurangkan Sembelit
Walaupun kebanyakan wanita gemar makan sewaktu hamil, ramai yang mengalami sembelit akibat perubahan hormon. Buah kiwi mengandungi kandungan serat yang tinggi, di mana serat sebiji buah kiwi sama seperti semangkuk bijirin.

Serat memainkan peranan aktif dalam mengurangkan sembelit sepanjang tempoh kehamilan. Serat juga bagus bagi mengumpul dan membuang toksin daripada kolon. Oleh yang demikian, ia dapat mengelakkan kanser usus.

4. Tidur nyenyak
Kebanyakan wanita hamil tidur lebih banyak berbanding biasa dalam trimester pertama. Namun, masalah tidur akan bermula selepas trimester pertama dan selalunya berpanjangan sehingga lepas bersalin. Tidur yang kurang bukan sahaja mempengaruhi tumbesaran bayi malah turut mengganggu keupayaan anda untuk bekerja sepanjang hari.

Kajian telah menunjukkan bahawa memakan sebiji buah kiwi sejam sebelum tidur dapat meningkatkan kualiti tidur. Ia dapat menenangkan dan menstabilkan perasaan seseorang kerana kandungan kalsiumnya yang tinggi. Inilah cara terbaik untuk anda mendapat tidur yang lebih panjang dan lena, sambil menghilangkan kerisauan tentang kesihatan anda dan bayi.

5. Merendahkan Tekanan Darah
Peningkatan kecil dalam tekanan darah ketika hamil adalah petanda kehamilan yang biasa, termasuklah rasa mual dan sembelit. Walau bagaimanapun, jika tahap tekanan darah naik mendadak dan tidak dirawat, ia bukan sahaja boleh membahayakan diri anda dan nyawa bayi, malah dapat menjurus kepada masalah diabetes.

Antara sebab terbaik untuk anda menjadikan buah kiwi sebagai sebahagian daripada makanan harian ialah jumlah potassium yang terkandung dalam buah hebat ini. Dengan hanya satu hidangan, ia mengandungi lebih banyak potassium berbanding pisang. Potassium melawan efek garam (sodium) bagi mengurangkan tekanan darah yang tinggi.

Jadi, anda boleh menjadikan buah kiwi sebagai buah pilihan anda semasa mengandung dan juga boleh anda makan ketika anda rasa loya ketika mengandung. Dari itu kita boleh mengurangkan pengambilan asam masin , jeruk dan sebagainya yang tidak baik untuk kesihatan anda dan bayi dalam kandungan.



H/P: 019-313 2413 (Anis)
Email: vitaminkesihatan@gmail.com
FB: Anis Suziana Ahmad                                                                   
Blog: vitaminonlineshop.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Produk ini tidak bertujuan untuk mendiagnosis, merawat, menyembuh atau mencegah sebarang jenis penyakit.