Ramai juga dikalangan kita wanita tidak tahu apa itu PCOS atau panjangnya Polycystic Ovarian Syndrome. PCOS merupakan satu gangguan hormon yang berlaku di kalangan wanita. PCOS adalah punca anda sukar hamil kerana mempengaruhi kesuburan anda.
Kajian juga menunjukkan kira-kira 20% wanita yang 
berusia lebih daripada 20 tahun mengalami masalah ini, dan lebih 
daripada 40% wanita yang mempunyai masalah kesuburan adalah 
disebabkan PCOS.  
Antara ciri utama PCOS adalah pengovulan (proses bertelur) tidak 
berlaku atau tiada pengovulan yang tetap pada setiap bulan. Selain itu 
peningkatan aras hormon androgen (hormon lelaki) yang berlebihan dalam 
badan wanita turut menjadi punca sukar hamil.
Gejala
"Gejala sindrom ini berbeza antara wanita yang menghidapinya. Namun, 
punca sindrom ini masih belum diketahui secara jelas. PCOS boleh menjadi
 tidak ketara atau ketara dan ia berbeza antara seorang penghidap dengan
 penghidap yang lain,'' kata Prof. Madya Dr. Nik Hazlina Nik Hussain. 
Beliau merupakan Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita (Pakar
 Obstetrik dan Ginekologi) Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus 
Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan.
Menurut Dr. Nik Hazlina, antara yang mungkin berlaku termasuklah 
kedatangan haid tidak teratur (oligomenorea) dan kadangkala ketiadaan 
haid (amenorea), bulu roma berlebihan tumbuh di badan (hirsutisme), 
jerawat yang teruk dan kronik, obesiti, keguguran berulang, kulit 
menjadi lebih gelap (akantosis nigrikan) dan botak menyerupai lelaki 
(male baldness).
Sindrom ini juga dikaitkan dengan peningkatan risiko mendapat 
penyakit diabetes melitus, peningkatan aras kolesterol darah dan juga 
hipertensi. Akhirnya, masalah ini akan meningkatkan risiko untuk mendapat 
penyakit jantung atau dikenal juga sebagai penyakit kardiovaskular.
Klasifikasi
Tambah Dr. Nik Hazlina, terdapat beberapa klasifikasi bagi 
mendiagnosis sindrom ini. Pada 2003, pakar-pakar dari Amerika dan Eropah
 bersepakat menyatakan bahawa PCOS perlu mempunyai sekurang-kurangnya 
dua daripada tiga ciri berikut iaitu
(i) Masalah pengovulan, iaitu tempoh kitaran haid yang lama 
(contohnya kedatangan haid yang tidak tetap, setiap 2 - 3 bulan), tempoh
 perdarahan yang lama dan perdarahan yang sedikit.
(ii) Bukti terdapat kadar hormon lelaki, androgen yang tinggi (sama 
ada secara kadar biokimia atau secara manifestasi klinikal), iaitu 
hirsutisme (terdapat bulu tumbuh pada kawasan yang khusus untuk lelaki 
seperti misai dan janggut), jerawat, kulit yang lebih gelap pada 
bahagian lipatan (bahagian leher, celah ketiak dan celah paha) dan juga 
botak di bahagian depan kepala.
(iii) Pemeriksaan imbasan ultrabunyi melalui faraj menunjukkan 
terdapat banyak folikel yang kecil dan tidak membesar secukupnya untuk 
mengeluarkan ovum dalam proses pengovulan. Klasifikasi yang disebutkan 
ini juga dikenal sebagai klasifikasi Rotterdam.
Metabolisme rendah
Kebanyakan wanita yang menghidap PCOS mempunyai metabolisme yang 
rendah sehingga menyebabkan masalah berlebihan berat badan (obesiti), 
terutamanya di kawasan pinggul. Sebenarnya, PCOS merupakan keadaan yang 
akan dihadapi sepanjang hidup melibatkan semua peringkat umur, bukan 
sahaja dalam tempoh masa kesuburan.
Rawatan bagi sindrom ini berdasarkan masalah yang dihadapi oleh setiap individu berkenaan.
Rawatan
Rawatan PCOS ini juga bergantung pada usia wanita dan keinginannya untuk hamil. Dr. Nik Hazlina menjelaskan, rawatan penting untuk mengurangkan 
risiko kanser rahim, terutama jika kitar haidnya terlalu lama dan 
mengalami perdarahan yang terlalu banyak.
Selain itu, penghidap PCOS juga memerlukan rawatan jangka panjang dan motivasi yang tinggi dalam dirinya sendiri.
"Ubat-ubatan sahaja tidak akan membantu penghidap PCOS, malah setiap 
orang juga perlu berusaha untuk mengubah gaya hidup ke arah yang lebih 
sihat," tambahnya.
Kesuburan
Lebih kurang 80 peratus daripada penghidap PCOS mengalami masalah 
ketidaksuburan atau dikenal juga sebagai mandul (infertiliti).
Tambah Dr. Nik Hazlina, masalah ketidaksuburan memberikan impak 
fizikal dan sosial kepada pasangan yang mengalaminya, khususnya pihak 
isteri. Keadaan itu boleh menyebabkan tekanan perasaan, tidak dapat 
menerima hakikat kekurangan diri, berasa rendah diri, mudah berasa diri 
dipinggirkan dan suka bersendirian atau memencilkan diri.
"Pada masa ini, terdapat pelbagai kaedah rawatan ketidaksuburan bagi 
pesakit yang menghidap penyakit ini. Terdapat beberapa faktor 
mempengaruhi pilihan rawatan yang akan digunakan. Kaedah rawatan yang 
dipilih biasanya di atas persetujuan pesakit," ujarnya.
Ubat-ubatan
Penggunaan ubatan juga merupakan kaedah untuk merawat masalah 
ketidaksuburan. Terdapat pelbagai jenis ubatan antaranya Metformin, yang
 tergolong dalam kumpulan ubat perangsang insulin. 
Dr. Nik Hazlina menerangkan, ubat ini bertindak dengan mengembalikan kadar insulin daripada aras yang tinggi kepada normal.
Namun terdapat kesan sampingan, terutamanya pada peringkat awal 
pengambilan ubat ini. Antaranya termasuklah loya, cirit-birit dan perut 
kembung.
Walaupun tiada lagi laporan tentang kesan sampingan ubat ini terhadap
 kandungan, namun pengambilan ubat hendaklah dihentikan apabila 
seseorang wanita itu disahkan hamil. 
"Clomiphene citrate juga merupakan ubat untuk merawat infertiliti. 
Kajian menunjukkan bahawa gabungan Metformin dan Clomiphene telah 
menunjukkan kejayaan pengovulan pada 90 peratus penghidap PCOS.
''Ubat ini tidak boleh diberikan lebih daripada 12 kitar haid bagi 
individu yang tidak pernah hamil kerana risiko mendapat kanser ovari 
meningkat untuk jangka masa panjang.
''Pengambilan Clomiphene sahaja mencatat kadar pengovulan 70 hingga 
80 peratus dan kadar kandungan yang berjaya hamil sebanyak lebih kurang 
40 peratus,'' katanya.
Menurut Dr.Nik Hazlina, terdapat juga sebilangan pesakit yang masih 
tidak berjaya mencapai pengovulan walaupun diberikan Clomiphene sehingga
 dos maksimum. Keadaan itu dikenali sebagai kerintangan Clomiphene (Clomiphene resistance).
  
Terdapat ubat lain seperti suntikan hormon Gonadotrofin untuk 
membantu dalam perkembangan ovum. Kaedah ini berkesan tetapi mahal, 
memakan masa dan memerlukan kepakaran. 
" Bagi kaedah suntikan ini, biasanya penghidap PCOS akan menjalani rawatan secara permanian beradas (intrauterine insemination).
 Peluang untuk hamil bagi setiap pusingan adalah lebih kurang sebanyak 5
 hingga 10 peratus sahaja. ''Cara ini disarankan sebanyak tiga hingga 
empat kali sahaja dan jika masih gagal untuk hamil, maka kaedah 
seterusnya adalah secara bayi tabung uji atau persenyawaan in-vitro (In-vitro fertilization, IVF) yang mempunyai kadar peratus kejayaan hamil dalam 30 peratus. 




Alhamdulillah terbaik shaklee
BalasPadam